Monday 15 October 2012

PAC Dedah Pembinaan Hospital Kluang RM380 Juta Telah Lewat Setahun


(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 15 Oktober: Banyak projek berkepentingan awam yang tidak mengikut spesifikasi dan kualiti material untuk infrastruktur awam, antaranya membabitkan pembinaan sebuah hospital di Johor, dedah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.
“Contohnya, projek pembinaan hospital di Kluang banyak kesalahan. Kos berjumlah RM380 juta, namun berlaku kelewatan sehingga setahun.
“Ini adalah projek runding terus. Adakah ia sesuatu projek yang terlalu mendesak sehingga terpaksa dianugerah secara runding terus? Tak cukup ketelusan,” kata Ahli Parlimen Kepong itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid mengakui masih terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak, penyelengaraan peralatan dan bangunan oleh kementerian, agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Malah beliau turut bersetuju kelemahan tersebut berlaku pada setiap tahun.
Ekoran itu, katanya, Ketua Audit Negara akan menyerahkan laporan kepada PAC untuk menentukan pihak yang akan dipanggil selepas mesyuarat jawatankuasa itu minggu depan.
“PAC akan tentukan jabatan mana akan dipanggil, yang telah dicadang oleh Ketua Audit Negara. Kita akan kaji dan buat keputusan. Mungkin dalam 30 Jabatan Persekutuan.
“Budaya selenggara perlu ditambah baik. Kita tak boleh jelas secara spesifik pada masa ini. Ahli PAC pun belum habis baca lagi,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, berlaku banyak pertindihan kuasa dan percanggahan kepentingan di antara pengendali projek, PBT dan individu yang terlibat dalam projek kerajaan.
“Cara implementasi sesuatu projek melibatkan kerajaan negeri dan PBT. Kena tengok kelemahan. Apa pun perlu baca dulu laporan. Kita akan dapatkan maklum balas dari Perbendaharaan dan kemudian kita akan bentuk pandangan,” jelasnya semasa membacakan Laporan Audit Negara 2011 setelah lewat lebih setengah bulan dibentangkan.
Projek pembangunan Hospital Kluang merupakan projek bagi menggantikan hospital sedia ada yang telah dibina pada tahun 1931. Malangnya hingga kini projek tersebut tergendala hingga tempoh setahun.
sumber: http://www.keadilandaily.com/?p=37893