Monday 15 October 2012

Shahrizat Nafi Gelar Rafizi 'Jambu' - Mahkamah


Shahrizat Elak Jawab Peguambela, Nafi Pernah Kata Rafizi
(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 15 Oktober: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil hari ini menafikan beliau pernah menggelarkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebagai ‘jambu’ dalam ucapannya awal tahun lalu.
Ketika diasak peguambela, Ranjit Singh, Shahrizat bagaimanapun memilih jawapan selamat dan cuba menyembunyikan individu yang menerima jolokan itu oleh beliau.
“Saya tak namakan sesiapa dalam ucapan tersebut. Itu rahsia saya, siapa makan cili dia akan terasa,” katanya.
Peguam mewakili Shahrizat, Shafie Abdullah bangun membantah mengatakan isu tersebut tidak layak ditimbulkan kerana ia bakal memalukan anak guamnya.
“Ini pertanyaan yang melangkaui. ‘Jambu’ boleh diberikan kepada sesiapa,” katanya.
Kenyataan Shafie ini sekaligus menggambarkan kebenaran bahawa Shahrizat sememangnya pernah mengungkap demikian terhadap Rafizi.
Ketua Wanita Umno itu dalam satu mesyuarat Februari lalu berkata, beliau akan menghantar baju kurung merah putih kepada “penghendap” dalam KEADILAN yang berniat mahu mengambil alih jawatannya selaku Menteri Wanita.
“Beliau akan kelihatan bagus dalam merah dan putih, nampak sedikit jambu. Wanita Umno akan menghantarnya kepada penghendap saya,” kata Shahrizat.

Kata-kata itu secara jelas merujuk kepada Rafizi, yang telah mengetuai pendedahan kes skandal penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).
Ketika disoal peguam defendan mengenai perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Wanita, Shahrizat memberitahu ia tiada kaitan dengan NFC, tetapi kerana mahu tumpukan perhatian kepada keluarga.

“Saya letak jawatan sebab mahu jaga keluarga, mahu bersih nama saya dan keluarga, setiap masa orang sebut Shahrizat,” katanya.

Shahrizat merupakan pihak pendakwa manakala Rafizi dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dinamakan sebagai defendan.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham ‘preference’ dipegang kerajaan Malaysia.
sumber: http://www.keadilandaily.com/?p=37890