Sunday 14 October 2012

Aset, Tanah KTMB RM50 Bilion Bakal Lesap



(Oleh: Sidiqin Omar) - KeadilanDaily

KUALA LUMPUR 12 Oktober: KEADILAN bimbang aset dan pegangan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dianggar berjumlah RM50 bilion tergadai selepas diserah kepada MMC Corporation Berhad, kata Senator Syed Shahir Syed Mohamud.
Katanya, syarikat milik jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari itu tidak mungkin mengambil alih KTMB yang pada asasnya memberi perkhidmatan kepada rakyat, tanpa sebarang keuntungan.
“Persoalannya mengapa Syed Mokhtar berminat (mengambialih KTMB)? Jika kita lihat aset kepunyaan KTMB antaranya (adalah) tanah.
“Kedudukan tanah KTMB adalah di semua kawasan strategik di negara ini seperti di Butterworth, Ipoh, Kuala Lumpur, Gemas dan Johor Bahru,” katanya kepada Keadilandaily.
Beliau sebelum itu menyertai kira-kira 500 ahli Kesatuan Pekerja KTMB (RUM) berpiket di depan ibu pejabatnya di Jalan Hishamuddin, bagi membantah pengambilalihan itu.
Tambah beliau, jika keputusan pengambilalihan itu dibuat berdasarkan pegangan hartanah yang dimiliki KTMB, ia bakal memberi pulangan lumayan kepada MMC Corp.
“Jika itu kebarangkaliannya, maka itu kebimbangan kita.
“Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada tanah KTMB di Singapura. Di Woodlands, Keppel Road, Bukit Timah hingga ke Tanjung Pagar. Nilainya berbilion ringgit,” kata Syed Shahir.
KEADILAN sebelum mendedahkan usaha penswastaan operasi KTMB kepada MMC Corp sebagai satu lagi usaha mengkayakan kroni BN.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengambilalihan itu bermakna syarikat-syarikat yang dikawal  Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan sektor terpenting di negara ini.
sumber: http://www.keadilandaily.com/?p=37811



KEADILAN memberi amaran kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak supaya membekukan segala rancangan untuk menswastakan operasi KTMB kepada MMC Corp Berhad yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
KEADILAN difahamkan bahawa MMC telah mengemukakan pelan operasi dan pengambilalihan pada awal tahun ini dan pentadbiran Najib sedang dalam proses untuk meluluskan pelan pengambilalihan tersebut.
Ada beberapa perkara pokok yang perlu dipertimbangkan sebelum kerajaan menswastakan KTMB buat kali yang kedua selepas penswastaan kali pertama di bawah syarikat Marak Unggul Sdn Bhd gagal, iaitu:
1. Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan bagi memastikan aset dan pegangan tanah KTMB yang dianggarkan berjumlah RM50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau persendirian?
2. Apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan kakitangan KTMB akan dilindungi seadilnya apabila mandat diberikan kepada MMC Corp Berhad untuk mengendalikan pekerja?
3. Apakah bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada MMC Corp Berhad untuk mengelakkan satu lagi projek swasta dibiayai oleh wang rakyat?
Saya juga melahirkan rasa kesal kerana sekali lagi pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengingkari janjinya bahawa semua tender akan dikendalikan secara terus dan melalui tender terbuka.
Seperti juga projek MRT yang kini menimbulkan kemarahan kumpulan-kumpulan yang rapat dengan Umno sendiri, penswastaan KTMB dibuat melalui satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh MMC Corp Berhad.
Sekiranya syarat pengambilalihan hanyalah melibatkan peningkatan kecekapan operasi dan kos (dan tidak menanggung hutang KTMB yang berjumlah RM1 bilion), adalah lebih wajar jika kerajaan menjemput seberapa ramai usahawan dan konsortium untuk menyertai satu tender terbuka memandangkan pakej suntikan kewangan oleh pengendali baru tidak termasuk tanggungan hutang sedia ada.
Sikap Dato’ Seri Najib Tun Razak yang memusatkan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur dan harta utama negara di tangan beberapa kroni utama beliau semakin memuncak.
Kini pun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di negara ini. Konsortium beliau juga dianugerahkan tender pembinaan MRT yang kosnya dijangka melampaui RM100 bilion.
Dengan anugerah penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan alternatif terpenting kepada sistem pengangkutan awam darat di masa hadapan. Ini bermakna, sebarang usaha untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli yang dipegangnya.
KEADILAN menentang sepenuhnya cubaan untuk mewujudkan monopoli pengangkutan keretapi dengan anugerah penswastaan baru kepada MMC Corp Berhad untuk mengambilalih operasi KTMB.
Berdasarkan projek-projek penswastaan dan kerjasama swasta yang telah gagal sebelum ini seperti penswastaan kali pertama KTMB dan kerjasama MAS-AirAsia, KEADILAN yakin tindakan menswastakan KTMB juga bermotifkan keuntungan semata-mata yang membelakangkan kepentingan nasional
Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35378